Majlis perkahwinan diadakan bertujuan untuk memberitahu umum mengenai ikatan pernikahan yang telah terjalin di antara pengantin lelaki dan perempuan. Ia juga bertujuan mengelakkan berlakunya syak wasangka apabila orang ramai melihat kemesraan yang timbul di antara kedua pasangan. Sudah tentu jika menghadiri majlis seperti ini ia akan melibatkan aktiviti makan beramai-ramai. Bukan sahaja ia menyeronokkan malah boleh mengeratkan hubungan orang yang jauh dengan yang dekat. Namun, perlu diingat ketika anda bersuka ria bertemu rakan dan sanak saudara, anda perlu ikuti beberapa garis panduan adan adab yang ditetapkan dalam Islam
Memenuhi Undangan
Jika merasakan tiada perkara penting untuk dilakukan maka anda wajib untuk menerima undangan perkahwinan tersebut seperti mana sabda rasullullah S.A.W yang bermaksud, “Apabila seorang daripada kamu diundang menghadiri kenduri kahwin maka hendaklah dia menghadirinya”. (Riwayat oleh Al-Bukhari dan Muslim)
Tidak Pilih Kasih
Jangan sesekali anda memilih dan membezakan undangan yang diterima antara orang kaya dengan orang miskin kerana disisi Allah kita semua adalah sama sahaja. Perkara ini juga tidak digalakkan di dalam Islam kerana ia menunjukkan diri kamu sebagai seorang yang mementingkan diri.
Pakaian Sopan
Pakaian yang jarang dan menjolok mata amat tidak sesuai untk digayakan di majlis perkahwinan kerana pastinya tetamu lelaki yang bukan muhrim akan memandang kamu. Itu sudah mewujudkan suasana yang kurang manis.
Tolak Undangan
JIka anda tahu dan melihat dengan mata anda sendiri bahawa makanan yang disediakan pada majlis tersebut berpunca daripada sumber yang tidak halal atau pun diperolehi dengan aktiviti mungkar maka janganlah anda menghadirinya kerana Allah sudah berfirman di dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah ayat 172 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadah kepada-Nya”.
Niat Ikhlas
Sebelum menjejakkan kaki ke majlis perkahwinan pastikan niat anda betul dan yang penting sekali bukan untuk memenuhkan perut yang lapar. Apabila niat kita sudah lari maka perbuatan yang dilakukan adalah sia-sia. Sebaliknya berniatlah untk memuliakan tuan rumah serta menjaga hati dan perasaan sanak saudara.
Berdoa
Pasangan pengantin baru memerlukan doa restu daripada tetamu yang hadir untuk mendapatkan keberkatan di atas hubungan suci yang telah dibina dan itu merupakan sebab utama majlis perkahwinan diadakan. Maka seeloknya anda mendoakan kebahagiaan dan kedamaian atas rumah tangga mereka kerana Allah mendengar apa sahaja yang berdetik di hati anda.
Petikan artikel dari dara.com